Sunday, September 26, 2010

Ini bukan entri raya

Disclaimer: Jika penulisan ini membawa implikasi yang tak terjangka dek mindaku, seperti ketakutan yang dimomokkan tentang pendedahan begini , sila anggap ini semua fiksyen yang aku reka. Anggap aku psiko yang pendengki, penulis yang berkhayal atau penderita insomnia setelah menelan diazepam 8 biji tapi tak dapat tidur jugak, atau apa saja.

*****

Ini entri orang yang terluka, sehingga ke tahap aku nak menulis saja hingus dan airmata sama mengalir. Tak berhenti.

Jangan jijik, sebab aku guna tisu dan kalau orang yang kenal aku memang tahu aku sangat fanatik kepada Dettol. Semua siri antiseptik itu.

Aku tak tahu harus tulis bagaimana, dan haruskah aku tuliskan pengalaman ini?

Maka aku turun sekejap ke ruang tamu, dan minum air teh o suam.

Sambung.

Pakcik aku, ( yang berkahwin dengan adik emak aku) adalah lambang lelaki gigih, seorang usahawan yang cekal dan tabah. Harus aku guna semua kata sifat begini untuk kamu dapat memahami walaupun tidak mengenalinya. Meski tidak berpelajaran tinggi, namun dia seorang yang berkemahiran. Sebut saja apa saja kemahiran, dia dapat mengerjakannya. Tepatnya lagi pakcik aku seorang multitasker. Dia watak lelaki kampung yang selalu ada dalam drama tv. Memang ada orang begini. Berjaya di dengki, miskin dihina, jujur di tipu dan dianiaya.

Dia juga seorang yang penuh humor, manis ternampak lesung pipit bila dia tersenyum melihat kami pecah ketawa dengan leluconnya.

Kerana pakcik pembekal khidmat sewa khemah dan mempunyai rangkaian niaga yang baik, pakcik mendapat tawaran catering untuk satu jamuan raya sebuah majlis daerah. Anggaran makan untuk 450 orang.

Kepada pak cik, ini rezeki. Rezeki anak-anaknya seramai lapan orang. Mungkin saja dia sudah mencongak keuntungannya untuk yuran sekolah dan keperluan anak-anak serta isirumah. Pakcik walaupun susah , tidak meminta-minta, bahkan dia berusaha dan bijak membaiki taraf hidup.

Sila anggap ini gambar hiasan.

Mak cik aku mengajak aku dan adik beradik yang berkelapangan untuk membantunya. Memang telah aku lapangkan tarikh itu untuk urusan keluarga. Watak makcik aku yang penyayang dan lemah lembut ini tidak aku tampilkan, kerana fokus hanya untuk peristiwa pakcik aku. Cukup aku nyatakan makcik surirumah, menghidap diabetis kekal ketika hamil anak bongsunya.

Mujur di kampung ada keluarga berdekatan, yang tidak kedekut tenaga dan masa bersama-sama membuat persediaan. Tidak tergambar kepenatan dan lelah merebus dan mengopek 200kg kerang (salah satu menunya rendang kerang), merebus nasi impit dan sebagainya. Turut membantu adik-adik sepupu ku yang masih kecil. Asyiqin misalnya, sehingga larut malam masih bersengkang mata membantu emak dan abahnya. Dia tahu kesusahan itu. Fadzil dan Asyikin dua adik sepupu aku yang belajar di sekolah Maahad yang pakcik ikhtiarkan bersungguh-sungguh menyekolahkan dengan pendidikan agama.

Esoknya aku juga turun membantu ke lokasi jamuan raya tersebut. Sampai di kawasan pelancongan yang menjadi venue rumah terbuka dan jamuan raya itu, memang aku nampak khemah yang terpasang bertulis majlis daerah x.

Kata pakcik, pada asalnya dia diberitahu membekalkan khidmat sewa khemah, P.A sistem serta katering. Tetapi di saat akhir dia dimaklumkan servis yang diberikan hanya catering dan P.A sistem. Sewaan khemah hanya tercatat atas kertas. Pakcik menganggap bukan rezeki sahaja dan kepada peniaga, ini hal biasa.

Tetapi, rupanya pegawai yang bertanggungjawab itu sudah kaw tim dengan seseorang di jabatan terbabit untuk menggunakan khemah majlis daerah saja. Dalam erti kata lain, mereka menuntut bayaran kepada kerajaan atas servis yang tidak diberikan oleh pembekalpun.

Selepas mendapat tahu perbuatan ini, aku menyuarakan rasa tidak puas hati kepada Pakcik.

“ini tidak jujur, tidak adil.”

Kepada aku mereka golongan keji yang suka kepada duit haram. Aku berhak marah kerana aku seperti kamu, aku juga pembayar cukai.

Tetapi Pakcik nampak tenang, dia memberitahu hal ini suatu yang lumrah. Jika dia mengganggu amalan begini, dia akan disusahkan. Hidupnya yang sedia payah tambah sulit.Walaupun jauh di sudut hatinya dia membantah, dia akur kepada konsep ‘ siapa yang berkuasa’. Kata pakcik dalam bisnes, ini lah sepak terajangnya,apatah lagi berurusan dengan kerajaan. Pakcik perlu job, dan untuk survive meski dia susah dan merana, dia perlu bertahan dan menerima. Aku tarik nafas, menyedutnya dalam-dalam menahan marah.

Ini satu penipuan, lambang kebobrokan sahsiah yang perlu dibetulkan dan dicegah.

Berat, kepala aku berat. Aku turun lagi ke ruang tamu, membuka baling kuih raya dan memilih tumpi. Ya tumpi yang makcik bekalkan dari kampung.

Aku tidak bersetuju dengan pakcik dan semua yang menyanggupi hal begini dibiar berlaku dalam masyarakat islam dan negara yang sedang menjana transformasi. (hairan aku menulis ayat skematik begini, macam ayat pendebat gila popular yang aku benci satu masa dulu)

“begitulah kita berurusan dengan kerajaan, memang macam tu” suara pakcik mendatar, seperti mencuba meyakinkan aku tetapi dia sendiri tahu ini mustahil. Aku bukan anak kecil yang pernah pakcik dodoi dan agah2 lagi.

Maka aku diamkan saja, tak mahu berlawan cakap lagi. Sekejap-sekejap aku menjeling kelibat pegawai berkasut merah itu. Citarasa sungguh kampuang.

Tapi aku nyata lebih terkejut apabila pakcik beritahu yang bayaran catering ini melalui LO dan bayarannya diuruskan pegawai terbabit. Kamu tahu berapa lama masa diambil untuk Pakcik mendapat bayaran? Dua bulan.

Aku melenting lagi. Aku periksa dengan ayah, dia beritahu LO selepas penyerahan invois oleh pembekal, jika semua lengkap dan perkhidmatan selesai hendaklah dibuat dalam tempoh dua minggu. Ini polisi. Tetapi aku yakin polisi kerajaan hanyalah atas kertas dan mengikut nasib kamu.

Aku ( jika kamu tidak kenal aku), bekerja di sebuah syarikat swasta yang menjadi pembekal kepada sektor kerajaan. Maka istilah L.O, e-perolehan dan prosedur sebagainya bukan asing.

Kenapa 2 bulan?

Tidakkah mereka tahu untuk job catering ini pakcik mendahulukan wang modal? Pak cik aku bukan kontraktor kaya raya dengan kereta menjalar yang tak kisah modal terbenam berbulan-bulan, masih hidup senang walaupun kamu minta sedkit per – sen kerana urusan itu. Bukan, bukan.

Pakcik aku orang susah yang berusaha, yang tanam sedikit sayuran kampung dan pergi ke laut tangkap ikan untuk lauk keluarga.

Dan setelah kerja selesai kerja yang dikehendaki, kamu melengah-lengahkan bayaran yang sepatutnya mudah? Kerana apa kamu sekejam ini? Kamu kenal pakcik aku ternyata lembut dan tulus, kamu tahu dia tidak sekolah tinggi dan jauh dari berpengaruh maka kamu menyusahkan urusannya?

Kamu tidak terfikir yang dia anak beranak tidur lewat pagi, ada makcik berembun di luar menyiapkan masakan?

Sila anggap gambar ini juga hiasan. Lebih baik begitu.

Mana kamu tahu, kamu buta. Buta hati.

Kerana apa kamu buat begini? kamu zalim atau apa?

Susah sangatkah hidup kamu sehingga bercatu makan sampai kamu sanggup menipu wang?

Lupa aku ingin beritahu, jamuan raya ini diadakan berdepan pantai yang cantik, maka sesekali angin laut menyapa wajah. Aku lihat di kejauhan, air laut keemasan dipanah terik matahari. Subahanallah. Aku mencari keberanian dalam ketakutan, kekuatan dalam baculnya aku.

Pakcik menegah aku berdepan dengan pegawai terbabit, kepada pakcik janganlah mencari susah atau mencari gaduh. Pakcik menjadi pengecut bukan untuk apapun, pakcik hanya mahu menyara keluarga.

Aku macam nak pengsan kepenatan petang itu. Disalai panas dicampur penat malamnya. Dapat aku bayangkan lemah sendi dan kejang kaki mereka yang lainnya.

Usai majlis aku membawa myvi kemekku menghantar Fadzil (dia sampai terlelap dalam lori yang panas dek keletihan) dan makcik pulang. Fadzil harus balik ke asrama, esok sekolah. Sepanjang memandu, fikiran aku hanya teringat muka hamba Allah itu. Jika tidak berfikir lama sedikit, teringat assault dan battery adalah satu jenayah mahu saja aku layangkan penumbuk padu ke wajahnya. Tapi ini sangat kejam, wanita bertudung awning berkasut merah ditumbuk pekerja caterer (aku). Tragik. Aku tidak mahu masuk Metro esoknya sebab aku benci Metro.

Soal aku sedih, lantak sajalah. Aku sayu terkenangkan adik-adik di kampung. Aku tersayat mengenang pakcik dan makcik ku yang gigih dan ikhlas itu.

Tapi saat ini aku mengakui siapa aku. Siapa kami.

Kami, marhain.

No comments:

Post a Comment

Komen